Pages

Khamis, 21 April 2016

Godspeed, Proton Persona!

ni masa balik raya. tersekat di bandar Segamat.
Beberapa hari yang lepas, brader campromania telah menulis berkenaan unit terakhir Proton Persona yang bakal digantikan dengan Persona dari platform Iriz tak lama lagi. Terasa sedih sebab Proton Persona antara model kereta yang sedap dipandang kalau kena dengan gaya modifikasi. Sebelum ni pun aku ada baca beberapa blog berkenaan Proton Persona mereka sebagai rujukan. 

Entry kali ini adalah khas sebab aku rasa gatal sangat nak menaip untuk meraikan unit terakhir Proton Persona keluar dari kilang sebagai tanda berakhirnya legasi Proton Persona. Untuk pengetahuan, aku tak suka Persona platform Iriz, sebab dia dah downgrade ciri ciri Persona yang asal. Untuk pengetahuan, Persona asalnya adalah kereta yang ditempatkan dalam segmen C, yang mana Iriz sedan yang baru ini telah direka untuk masuk dalam B-segment.

Kali ini aku akan buat review pasal Proton Persona setelah setahun lebih pakai.. Setelah bekerja, aku dah pakai berulang alik dari Bahau ke Johor. Macam-macam tempat aku dah pergi. 

Sebelum tu, aku suka nak highlight ciri-ciri Persona yang aku pandu. Aku pandu Persona Elegance, model facelift yang dilancarkan pada 2010 selepas Persona pre-facelift dikeluarkan pada tahun 2007. Pertama kali aku pandang, aku tertawan. 

Lampu belakang LED.
Lampu depan smoked.

kereta besar, empat pintu, suspensi multilink. 

Serius. Ini adalah cermin sisi paling seksi Proton pernah hasilkan. 


Meter cluster yang sukani (sporty). Pilihan warna putih+jarum merah tu menyenangkan mata.. aku suka.

Sistem Audio dari Blaupunkt. Ada slot USB. jadi tak perlu nak dengar radio DJ memekak gelak tak tentu pasal.
Dan satu lagi ciri yang buat aku suka, ruangan boot belakang yang amat-amat-amat luas. Sampai ada orang cakap nak baring kat bonet belakang tu. Haha. Untuk pemanduan seharian mahupun balik kampung, memang ciri ini amat menyenangkan. 


Varian Persona yang terakhir adalah Persona SV. Ada beg udara, ABS, EBD, brake disc pada keempat-empat tayar. Memandangkan model yang aku pandu dari base line model, tiada ABS, tiada EBD, tiada aksesori keselamatan lain seperti beg udara pemandu dan penumpang, tiada brek cakera di belakang. Agak kekurangan di situ. Akan tetapi, perkara sedemikian tidak menghalang keseronokan memandu sebagai seorang yang berjiwa kelajuan. Yeah, itu yang aku suka tekankan. Perasaan pemanduan. 



Pengenalan ciri Lotus Ride and Handling dalam setiap model mereka (kecuali yang lama) menjadikan pemanduan memang amat menyeronokkan. Semenjak pengambilalihan Lotus oleh Proton, hampir kesemua model baharu Proton telah menerima "rawatan" Ride and Handling yang mana model² lama tak dapat. Aku dah pernah memandu Saga Orion, pada aku handling dia biasa-biasa saja. Aku pernah pinjam kereta sepupu aku, Proton Wira Aeroback, bagi aku ciri pemanduan dan pengendaliannya amat menghampiri kepada pengendalian Proton Persona. Sebab tu bila aku beralih kepada Proton Persona, aku tak rasa kekok sangat, sebab hampir serupa ciri pemanduan dan pengendalian adik beradik Segmen C itu. 




Ride. Ciri pemanduan atas jalan tanpa ada rasa ketidakselesaan. Kereta keluarga selalunya diberikan suspensi yang lembut untuk menyerap segala hentakan dari luar, sekaligus memberikan keselesaan ketika pemanduan.
Handling. Ciri pengendalian kereta di atas jalan, yang mana lebih kepada kestabilan dan kadar tindak balas kereta kepada pemandu.
Kedua-dua ciri ini sebenarnya amat bertentangan. Tapi amat membantu dalam pemanduan seharian. Suspensi cukup lembut untuk menyerap dan menerima hentakan dari jalan, dan pada masa yang sama cukup keras untuk pengendalian yang meyakinkan. Proton Ride and Handling ini menerapkan, keselesaan pengguna menjadi keutamaan, akan tetapi mampu memberikan pengendalian yang bagus ketika mengambil selekoh atau mengelak halangan di atas jalan. Kagum sebenarnya bila memandu Persona.

Untuk kereta pada lingkungan harga RM50000, agak menakjubkan untuk Proton Persona hadir dengan suspensi multilink di bahagian belakang. Sebab kereta lain (Viva, Myvi, Saga) pada lingkungan harga itu masing-masing dilengkapi suspensi torsion beam. Sejujurnya, pengalaman memandu kereta B-segment Perodua tak menjanjikan keselesaan untuk pemanduan jarak jauh. Kehadiran Proton Persona pada lingkungan harga itu, dengan ciri yang lebih menarik, dan menjanjikan pemanduan yang menyeronokkan, menyebabkan aku tak pandang model Perodua.
kokpit pemandu. segalanya dalam capaian tangan yang normal (kecuali tombol pendingin hawa)
Dari tempat duduk pemandu, kedudukan stereng, tombol gear, brek tangan semuanya dalam capaian tangan yang normal. Jadi, tak terasa kelam kabut sangat ketika membuat pusingan, parking dan pemanduan biasa. Posisi duduk (seating position) pemandu jugak terbaik. Mungkin sebab aku sederhana tinggi, jadi tak jadi masalah sangat. Satu perkara yang aku suka pada Persona ialah kehadiran tempat simpanan di tengah tempat duduk hadapan. Kedudukan kotak simpanan kat tengah dan arm rest pada pintu sebenarnya membantu keselesaan pemandu. Agak-agak penat, boleh rehatkan salah satu tangan, sementara satu lagi pegang stereng. Untuk jalan jauh, serius dua benda ni membantu. 

ruangan untuk smartphone/barangan kecil dekat pintu, dan bawah corong pendingin hawa sisi pemandu
 Enjin IAFM yang dibekalkan Proton untuk unit Persona ni sebenarnya adalah satu penambahbaikan daripada enjin Campro asal pada unit Gen-2. Kalau dulu, enjin Campro mengalami masalah kronik kerana low torque pada RPM yang rendah, enjin IAFM seolah-olah telah menyelesaikan masalah tersebut. Sejujurnya, aku pernah memandu Gen-2, yang mana dalam keadaan pecutan amat tidak menyenangkan hati. Agak teragak-agak untuk memulakan pemanduan dalam RPM rendah. Dari gear 2 masuk ke gear 3 mengambil masa yang terlalu lama. Sakit hati pulak bila niat nak memecut tak kesampaian. Nak kena ambik Gen-2 CPS kut baru puas hati. Haha.   Untuk pemanduan di jalan biasa, trafik berhenti dan jalan, enjin 1600cc memberikan kuasa yang mencukupi. Kadang bergantung pada kaki kanan lah. Selalunya bila lampu isyarat bertukar hijau, kereta aku jauh tinggalkan kereta dibelakang. Kaki kanan berat sangat. Tapi transmisi auto agak kurang untuk tujuan pecutan. Bila memotong, aku hampir selalu drop gear kepada 3 dari D untuk kuasa pecutan, sebab bila tekan pedal minyak lebih, seakan tercari-cari gear yang sesuai untuk tujuan itu. Tapi itu hal kecil. Sebab aku akan pastikan keadaan mengizinkan untuk memotong dengan selamat. Kalau keadaan kurang, maka aku tunggu sehingga betul-betul selamat.

Memandangkan aspek penjimatan minyak selalu menjadi topik bualan ketika memilih kereta, malangnya aku tak mementingkan sangat hal itu. Jadi, tiada jawapan dapat diberikan untuk penggunaan petrol (fuel consumption) kerana cara pemanduan selalu bertukar. Bermakna sopan ketika jalan tidak mengizinkan dan 130km/h ketika berada di atas lebuh raya. Sukar untuk dikatakan kadar penjimatan, kerana ianya subjektif. Ada masa jimat, ada masa ia macam air. Aku ada kawan yang komplen FC Persona dia teruk. Padahal aku tengok cara dia tekan pedal minyak pun teruk. Tetapi, FC bagi Proton Persona ni agak biasa berdasarkan review pemilik yang aku baca.

baru masuk lebuhraya, mode memecut
Untuk pemanduan di lebuh raya, aku suka bila kelajuan naik melebihi had kelajuan kebangsaan (110km/h), sebab seakan tak terasa seperti memandu di kelajuan tersebut. Sedar-sedar, memandu dalam keadaan tenang pun, angka 120km/h sudah ditunjuki jarum di meter kelajuan. Tiada gegaran yang ketara dirasakan di takat kelajuan tersebut, bahkan pada kelajuan sehingga 170km/h pun, kereta masih stabil. 

Kelajuan 170km/h tu tak membawa apa makna pun, kebetulan ketika memandu dari arah selatan di lebuh raya, sebuah Proton Preve' sedang meluncur laju dari arah belakang. Tiada niat di hati untuk meneruskan pemanduan melebihi 170km/h, apatah lagi tiada niat untuk sampai ke destinasi dengan cepat, sekadar menguji prestasi dengan adik barunya Proton Preve' CFE, kebetulan sedang menguji kelajuan dia pada masa yang sama. Memang enjin CFE mampu pergi lagi lebih dari kelajuan tersebut. Sekadar senyum dan kemudian memperlahankan kereta, dan meneruskan pemanduan pada had kelajuan kebangsaan sahaja. 

Pendek kata, tahap pengendalian Persona pada kelajuan sederhana dan kelajuan lebuh raya memberikan aku perasaan pemanduan yang menyeronokkan. Kepakaran Proton amat aku puji. Sebab tu aku agak keberatan kalau nak tukar kepada jenama lain. Sebab lain, aku miskin. Tak mampu nak beli mahal-mahal. Jadi, amat berpatutan lah harga dengan pakej yang diberikan oleh Proton. Nak lebih lagi, memang aku sambar Preve' atau Suprima. 

entah bila Preve' ni nak keluar. bosan jugak menunggu.

Ciri-ciri lain, macam pendingin hawa, itu memang kepakaran Proton. Sejuk.  

Powerwindow, ada sedikit masalah. Hahahah. Masih berfungsi, cuma kadang kala tingkap sedikit menurun ketika perjalanan jauh. Kena selalu periksa sebab kadang kala bunyi angin ketika kelajuan tinggi mengganggu tumpuan. 

NVH. Tahap memuaskan. Aku suka sebenarnya. Bunyi tayar hampir minimum, bunyi enjin pun tak la mengganggu sangat. Aku tak berapa gemar ciri kesenyapan yang terlalu ketara, sebab aku kalau boleh nak juga dengar ngauman enjin supaya aku tahu bahawa enjin bertindak balas dengan tindakan aku. Senyap sangat macam City memang amat menjengkelkan. Cuma, bunyi angin ketika kelajuan tinggi agak kurang menyenangkan.
Cuma dari segi NVH, aku harap Proton mampu perbaiki untuk model akan datang. Tak teruk, masih boleh diterima, tapi boleh diperbaiki. 

Dari segi enjin, memang tip top. Cuma perlu ikut waktu servis, tukar timing belt, minyak gear. Itu sahaja. Cuma kebetulan ketika berada dalam jagaan aku, ada masalah pada intake manifold, berbunyi setiap kali enjin dihidupkan. Bila hantar kedai, hampir semua pomen syak alternator problem, tapi bila bukak alternator, masalah masih sama. Jadi, nak tak nak, kena hampir RM500 lebih untuk tukar benda alah plastik pada enjin tu. Selepas tukar, masalah pun tiada. Owner bengkel tu cakap, masalah ni kerap berlaku pada enjin Campro (Saga/Persona). Terbang melayang duit. 

Sekian sahaja review dari aku. Pemilik kereta standard dengan rim kompang. Tiada modifikasi kecil/besar dilakukan.

Kalau diberi pilihan, kalau boleh lah. Aku nak kekal dengan Proton Persona sedia ada. Kalau lah boleh mintak dengan kilang Proton supaya pasangkan aku Proton Persona dengan spesifikasi yang ada pada Proton Suprima. Persona ni tak perlukan bodykit mengarut. Cukup tukar sport rim.

nampak jahat.

masuk rim R3 16 inci pun nampak jahat. sumber gambar Zerotohundred. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan