Pages

Jumaat, 26 Ogos 2016

Pandu Uji Singkat Proton Persona 2016


PROTON telah selesai melancarkan produk terbaharu sedan segmen B mereka, Proton Persona. Ditawarkan dalam empat varian (Standard MT dan CVT, Exec CVT dan Premium CVT), Proton menawarkan satu produk yang dilihat memberikan para pembeli pilihan yang kena pada citarasa mereka. Apatah lagi peralatan keselamatan yang ditawarkan adalah standard untuk semua varian (Premium ada tambahan 4 lagi beg udara).

Boleh baca coretan berkenaan Persona lagi di link bawah ini:
Selamat Tinggal Proton Persona Elegance
Proton Persona 2016: Satu Pandangan Ringkas


jangan tiru aksi ini. pandu dengan berhati-hati di jalan raya. fokus!
Cukup sekadar itu coretan berkenaan spesifikasi. Kita masuk bab pemanduan dan pengendalian sebagai seorang pemandu, dan keselesaan sebagai seorang penumpang. 

Model pandu uji yang ditawarkan adalah dari varian Premium CVT. Saat Sales Advisor Proton menyerahkan "kunci" yang tak macam kunci tu, terasa rindu sangat pada kunci fizikal Proton Persona. Ya, keyless entry Proton Persona tidak mempunyai slot kunci macam Proton Preve dan Suprima. Hanya simpan kembali remote control tu dalam poket seluar, pijak pedal brake, dan tekan start button. 


garu kepala kejap tengok kunci serupa remote control speaker ni.
Stereng elektrik (EPS) yang ditawarkan untuk model Persona adalah sama dengan unit yang digunakan oleh Proton Iriz. Di halaju rendah, stereng cukup ringan untuk memudahkan pengendalian kereta, dan akan bertambah berat sekiranya memasuki halaju yang lebih tinggi. Tindak balas yang berat dari stereng ketika halaju tinggi ini memberikan lebih keyakinan ketika mengendalikan kereta. Lagipun, kita memandu sebuah kereta, bukan bermain video game. 

CVT. Transmisi berhantu dari Proton Iriz ni tidak lagi menunjukkan kemalasan ketika bergerak dari keadaan pegun. Proton telah menala kembali transmisi CVT ini, dan tiada lagi kedengaran bunyi bising menerjah ke dalam kabin. Kesenyapan kabin juga suatu perkara yang menarik perhatian. Proton sudah memperbaiki kadar NVH pada Proton Persona, malahan lebih baik dari model Proton sebelum ini, kecuali apabila melepasi had kelajuan lebuhraya dan juga keadaan jalan yang kasar. Untuk pemanduan biasa, ia sudah memadai.

Pada mulanya, jarak dekat pemanduan adalah standard untuk tiap kali pandu uji. Kemudian, setelah berbincang dengan sales advisor Proton yang menemani kami, beliau dengan baik hatinya membenarkan kami (dua orang) mengubah haluan memasuki lebuh raya, yang mana kebetulan Proton Plentong berdekatan dengan lebuhraya Pasir Gudang. Bagi penduduk negara Johor, faham-faham sajalah keadaan jalan di lebuhraya berkenaan. Sakit jiwa dibuatnya kalau bawak kereta sukan. 

Namun, Proton adalah Proton. Keseimbangan antara ride and handling Proton cukup mengkagumkan. Sistem suspensi berfungsi dengan baik menyerap segala macam hentakan dan lubang tanpa mengakibatkan ketidakselesaan kepada penumpang. Disini baiknya ketika kita pandu uji, kita bawa seorang lagi teman untuk pandu uji dan kita duduk di belakang, supaya kita boleh merasai sendiri keadaan sebagai seorang pemandu dan juga penumpang. Aspek ini penting, kerana kebanyakan pemilik sedan adalah mereka yang berkeluarga. Utamakan kereta yang mampu memberikan keselesaan, dan dalam masa yang sama, meyakinkan tahap pemanduannya. 


Pada halaju pemanduan lebuhraya, kereta tidak terasa bergoyang, malah amat stabil. Tiada perasaan ketidakyakinan timbul walaupun Proton Persona 2016 terasa sedikit tinggi berbanding abangnya Persona lama yang lebih rendah. Lampu penunjuk Eco Driving yang berwarna hijau menyala walaupun jarum meter menunjukkan 110km/j. Oleh kerana kita memandu sebagai seorang yang bukan pemilik, maka tahap kelahapan minyak enjin VVT ni tidak diketahui. Disini perlunya pembeli pertama Persona membuat uji kaji terhadap kadar penjimatan yang diwar-warkan oleh pihak Proton. 

Setelah keluar dari lebuhraya Pasir Gudang, kami menuju ke Proton Plentong, kami melalui jalan biasa, ada selekoh, ada lubang, ada pemandu yang memandu dan brek sesuka hati macam celaka, dan juga lori yang keluar simpang sesuka hati. Secukup rasa. Berdasarkan pemerhatian, pemanduan Persona di jalan ini juga amat baik, brek berfungsi dengan cekap, dan DNA pengendalian Proton yang diwarisi. Kereta begitu mematuhi "arahan" pemandu yang mengendalikan.

luas, terima kasih kepada dua tona warna dalaman yang serupa Persona Elegance
Dari pemerhatian seorang pemandu, susunan dalaman Proton sejak dari zaman abang long Proton Persona, Preve', Iriz sehinggalah Persona 2016 amatlah menyenangkan. Banyak ruang meletakkan barang, tempat letak botol/tin air, dan juga susunan tuil gear, brek tangan yang tidak menyusahkan pemandu untuk mencapai botol air di tengah. Capaian tangan kiri ke tuil gear, brek tangan semuanya pada posisi yang mudah dicapai. Tukaran gear juga  mudah. Satu ciri yang disukai ialah kebolehlarasan ketinggian kerusi pemandu yang diwarisi secara terus dari Iriz. Kita boleh melaraskan ketinggian yang diingini sebelum memulakan perjalanan, apatah lagi kita memandu sebuah kereta, bukannya sebuah van.


kedudukan alatan pemanduan amat mesra pemandu, kerusi belakang selesa.
Ketika berpeluang duduk di kerusi penumpang belakang sementara kawan memandu uji, terasa amat selesa dan ruang kaki sedikit luas berbanding Iriz. Kerusi belakang menyokong penuh ruang bawah peha, dan tidak terasa ketidakselesaan sepanjang perjalanan. Malah, hampir terlelap kerana selesa dan sejuk pendingin hawa dari arah depan. Penumpang belakang masih dapat rasa kedinginan walaupun ketika itu cuaca amat panas. Jadi, blower di ruang belakang tidak diperlukan, kerana pendingin hawa masih lagi mempunyai DNA Proton yang kuat. 


perehat tangan tiada, digantikan dengan slot pengecas peranti. dua pulak tu.
Kekurangan yang dirasai adalah ketiadaan perehat tangan di bahagian tengah, seperti Persona lama. Oleh kerana Iriz juga tidak didatangkan dengan ciri itu, maka Persona juga tiada. Untuk pemanduan jarak jauh, mungkin agak kurang selesa. Anda mungkin memerlukan isteri anda untuk meletak dan merehatkan tangan kiri anda. Yang mana masih bujang, letakkan sahaja di atas peha. Ataupun brek tangan. Ataupun tuil gear.

Namun barang harus diingat, tidak semua orang mampu mengendalikan kereta di halaju tinggi hanya menggunakan sebelah tangan (kiri atau kanan). Jadi, amalkan pemanduan berwaspada, lebih-lebih lagi ketika di halaju lebuhraya. 


Persona lama vs Persona baru
Satu ciri yang tidak diwarisi dari Persona lama ialah but belakang yang menggunakan gas boot struts yang secara geniusnya menjimatkan ruang. Penjimatan kos terpaksa dilakukan dan Proton Persona baru ini menggunakan leher angsa (gooseneck boot hinges). Namun, kekurangan itu ditampung oleh saiz but yang lebih besar. Persona 2016 mempunyai ruang barangan yang lebih besar (510L) berbanding Persona lama (470L). Besar dah tu. Nak besar lagi boleh beli Exora 1.6L CFE Turbo. Lipat kerusi barisan ketiga. Dah macam wagon.


pinjam brosur Proton Persona.
Di akhir pengujian pandu ringkas Persona hari ini (25 Ogos 2016), dapat disimpulkan bahawasanya Proton Persona mampu memberikan nilai yang sangat baik pada julat harga bawah RM60 ribu. Dengan ciri keselamatan yang standard untuk semua varian, tiada sebab untuk kita menolak tawaran yang baik dari Proton. Tidak seharusnya ciri keselamatan ni menjadi pilihan, apatah lagi tidak semua pemandu atas jalan raya memandu dengan siuman. Kita tidak akan tahu bila tiba giliran kita. Pilihan di tangan anda. Jimat minyak tidak boleh sama sekali digantikan dengan nyawa ahli keluarga. 

Bak kata Fairuz: Faz, aku terPersona lah. 

Isnin, 15 Ogos 2016

Proton Persona 2016: Satu Pandangan Ringkas


Proton adalah satu identiti tempatan, cuba bangkit untuk menyelit dalam industri automotif dunia. Proton adalah pemain kecil automotif. Jualannya sangat eksklusif. Ibarat model hasilan terhad. Berapa sangat kalau nak dibandingkan dengan pemain besar seperti Toyota, Porsche, Honda (sekadar menyebut beberapa nama). Bergantung pada jualan tempatan, serta pasaran eksport yang amat terhad bilangannya, Proton sudah mampu berdiri sebagai satu entiti automotif di Malaysia. 

Proton bermula dengan memasang kereta Mitsubishi. Bermula dari Proton Saga, Iswara, Wira, dan akhirnya barisan kereta di zaman moden seperti Saga, Persona, Iriz, Preve', Suprima S, Exora dan juga Perdana. Bermacam kerjasama dilakukan dengan pembuat kereta lain, perkongsian teknologi dan akhirnya pada tahun penghasilan Proton Iriz, Proton dilihat mampu membina sebuah kereta dengan pakej ride and handling, beserta dengan pakej keselamatan aktif dan pasif secara standard untuk semua varian. 

Sejujurnya, aku amat kagum dengan Proton. Di kala Proton dihentam akibat kualiti pembuatan yang tak begitu memuaskan, Proton masih mempunyai peminat tersendiri, terutama di kalangan peminat pengendalian sesebuah kereta. Tidak banyak kereta yang mampu memberikan kepuasan memandu, terutama dari segi pengendalian kereta yang mantap. 


Contoh yang paling dekat ialah Proton Persona. Diasaskan daripada abangnya Proton Gen2 (Wira Replacement Model), casis aeroback Gen2 telah diubahsuai menjadi sebuah sedan. Pada awalnya, tidak banyak kereta yang mampu menawarkan sistem gantungan jenis multilink di belakang pada julat harga RM50,000. Proton membuktikan bahawa dengan Persona, ia masih memberikan pengalaman pemanduan yang amat baik, walaupun pada ketika itu Proton (maaf cakap) tidak menitik beratkan soal keselamatan. Lihat sahaja penawaran beg udara dan juga ABS, EBD. Tak semua varian Persona pada waktu itu menikmati keselamatan yang sama (kecuali Persona SV). 

Kini, dengan pengenalan semua model segmen B sedan Persona, Proton dilihat sudah kembali ke jalan yang betul untuk menawarkan produk yang lengkap pakejnya. Pakej ride and handling, pakej keselamatan, dan juga pakej praktikaliti. Lihat sahaja review yang telah disiarkan di laman blog automotif terkemuka Malaysia. Rata-rata mereka dah pandu uji model terbaharu Persona ni. 

Amat sukar untuk mendapatkan hampir semua nilai positif untuk sebuah kereta. Tiada kereta yang sempurna, kereta yang mahal pun ada sahaja benda yang tak kena.
Iriz pun tidak dapat lari dari masalah itu. Namun, untuk Persona, masalah pada Iriz hampir tidak kelihatan mengikut pendapat mereka. Ini memberikan keyakinan kepada aku (jikalau aku pembeli berpotensi untuk Persona) dan juga rakyat Malaysia untuk membeli kereta pertama mereka. 



Lihat dari aspek keselamatan. Untuk semua varian, Persona didatangkan khas dengan 
- 2 beg udara (6 untuk varian Premium, sama macam Iriz), 
- sistem brek anti-kunci (ABS) 
- Vehicle Stability Control dengan Traction Control System
- Brake Assist (BA)
- Hill-Hold Assist (HHA)
- ISOFIX
kesemua ciri diatas melayakkan Persona mendapat lima bintang dalam ujian keselamatan ANCAP. 

Memandangkan seperti mana yang aku cakap sebelum ni, Persona baru ini diasaskan daripada platform Iriz, jadi sistem suspensi belakang adalah dari jenis torsion beam, sama seperti kereta segmen B yang lain (Vios, City, Vento dll). Berdasarkan pembacaan dari blog automotif, rata-rata memandang positif ride and handling Persona baru, walaupun menggunakan sistem torsion beam, tidak seperti Persona lama yang menggunakan sistem multilink. Jadi, aspek ini aku akan uji apabila Persona rasmi dilancarkan hujung bulan ini. 


Persona lama
Persona baru










Jujur cakap, aku berharapan tinggi agar perasaan pemanduan Proton dapat dirasai dan diwarisi oleh Persona baru ni. Aku tak kisah pun spesifikasi seperti keyless entry, lampu LED bagai, keluasan but belakang, kerana benda tu semua adalah perkara kecil. Untuk jenama Proton, perasaan dan pengalaman pemanduan adalah sesuatu yang amat dinantikan untuk setiap model baharu. Kerana itu ciri yang mendefinisikan sebuah produk Proton. 

Lihat bagaimana Proton menjenamakan semula pakej mereka dalam satu produk melalui dua iklan di bawah ini. 

 

Isnin, 23 Mei 2016

Nokia - Connecting People


Amaran: Ini bukan perihal sejarah Nokia. Ini adalah pandangan peribadi.

Nokia. Satu jenama yang tak asing lagi bagi peminat dan pengguna alat komunikasi. Nokia terkenal dengan model 3310 yang dikatakan sangat kebal dari kerosakan, bahkan kalau masuk air pun, biar kering, dan taraa, ia boleh digunakan seperti asal. Tak usah cakap lah kalau jatuh atas lantai, kerana masing-masing mendakwa lantai boleh pecah akibat gegaran yang dihasilkan oleh Nokia 3310. Acah je.

Aku memulakan kehidupan berkomunikasi dengan Nokia 3310. Tak best mana pun kalau ikut spesifikasi sekarang. Ada beberapa game, Space Impact, Bantumi, Snake. Semua tu best, main pun sebelah tangan je. Bateri tahan seminggu. Zaman tu mana la nak mesej sangat. Mesej pun mahal, yang kaya-kaya je kuat mesej ni.. Zaman nak usha awek pakai phone. Ambik nombor phone dari kawan, dan mulakan permesejan.

Ironi sungguh. Aku yang mula-mula ajar kawan aku sorang ni mulakan mesej awek pakai phone, dan dia yang melangkah ke alam perkahwinan dulu. Dah ada anak kut. Aku, bujang trang tang tang. Maybe dia advance kut, mempraktikkan ilmu yang aku beri. Kakaka..


Selepas Nokia 3310 aku rosak sebab apa entah, aku membeli Nokia 1110. Zaman itu, Nokia bermaharajalela dengan telefon monophonic, skin hitam putih, skrin warna dengan tone polifonik, rekaan rama-rama, sabun, daun dan macam-macam lagi lah. Paling best bila ada kawan pakai N-gage. Sampai beratur nak pinjam telefon dia main game. Macam biasalah, miskin. Mampu beli yang mana mampu dibeli.


Beralih kepada zaman Nokia kurang menyerlah, dan Sony Ericsson bangkit. Dan beberapa jenama lain.

Zaman di mana aku start mengenali phone Sony Ericsson, sebab masa itu ramai sangat yang beralih kepada jenama itu. Dengan pelbagai siri yang ditawarkan, dari segi kamera, musik, wifi dan macam-macam lagi lah. Yang mampu, beli yang mahal, boleh slide, flip phone. Yang kurang mampu, beli yang biasa-biasa je. Candybar.

Dalam sejarah pemilikan telefon, aku memiliki 2 flip phone dari siri Walkman. Satu W980i. Dan satu lagi W508i. Aku tertarik sebab rekaan flip phone. Dan juga sebab pada waktu itu, aku sangat ketagih dengan drama Jepun, yang mana hampir kebanyakan model phone yang dipaparkan dalam siri itu adalah flip phone. Nak berlagak Jepun, jadi aku pun pilihlah flip phone untuk kegunaan harian. Untuk peminat muzik, siri Walkman ni memang sedap dipakai. Kadar ketahanan bateri adalah sekitar sehari dua. Kalau penggunaan berat, tak sampai sehari. Masa tu pun powerbank mana lagi wujud. Kalau travel, memang merayau nak cari plug nak cas.

W980i. design dia lawa. terbaik. namun, jodoh tak lama.
W508i. bertahan selama dua tahun. dan kemudian hilang dicuri.












Sejak dicuri, aku dah malas nak pakai phone mahal-mahal. Aku kembali dengan Nokia 1110 yang ditinggalkan sejak memiliki W980i. Pada waktu itu, kebetulan zaman Android baru lahir. Ramai rakan-rakan beralih kepada Android. Aku mula agak keberatan, sebab bagi aku antaramuka dia walaupun cantik, akan tetapi sangat susah penggunaan dia. Tak mesra pengguna.

Kebetulan pada zaman itu Internet baru nak naik, dengan pengenalan penggunaan tanpa had dengan hanya bayaran sebanyak RM25 sebulan, aku tak ambik kisah sangat. Online pakai PC sudah. Nokia pada waktu itu masih setia mengeluarkan phone asas (aku tak ambik kisah sangat perihal smartphone pada waktu itu), jadi aku sambar satu Nokia 101, ciri-ciri asas dengan dua sim, dan pemain mp3. Walaupun aku sudah ada Walkman, aku sekadar nak nafas baru dalam pemilikan phone. Maklumlah, Nokia 1110 tu tak berapa menarik sangat.


Kemudian, Nokia memulakan nafas baru dalam arena smartphone dengan pengenalan siri Lumia. Aku pada mulanya tak pandang sangat, tapi bila melihat dua orang rakan memiliki Lumia 620, aku agak teruja. Memang kena dengan jiwa aku. Rekaan antaramuka yang menyenangkan. Akan tetapi, aku tak terus menyambar. Menunggu duit. Setelah beberapa bulan Lumia 520 dipasarkan (Lumia 620 diperkenalkan pada Januari 2013, manakala Lumia 520 pada April 2013), aku menuju ke kedai untuk membeli Lumia 520 sebagai smartphone aku yang pertama.   

Lumia 520 aku memulakan tugas secara rasmi pada September 2013. Dan masih berkhidmat, sampai sekarang. Bagi aku, inilah smartphone yang menepati ciri-ciri "anda dapat apa yang anda bayar". Kukuh macam moyang tok anjang dia Nokia 3310, kamera yang best digunakan pada cahaya yang suram, dan beberapa ciri menarik seakan menyerupai kamera SLR.

Boleh check dan klik pada tweet aku untuk lebih gambar. 

Masuk tahun ni dah tahun ketiga aku memiliki Nokia Lumia 520 ini. Tiada keutamaan untuk menggantikannya dengan model baharu, walaupun dah pernah terlintas di hati nak beli lain (Lumia 535, Lumia 540). Akan tetapi, Lumia 520 ini macam moyang tok anjang dia Nokia 3310, susah betul nak mati. Liat. Panjang betul umur dia. Jadi pada aku, biarlah ia kekal berkhidmat sehingga ke titisan elektrolit bateri yang terakhir. Emm. Lain macam bunyi dia.

Sedikit sejarah daripada apa yang aku tahu.

Gergasi komunikasi Nokia yang pada suatu ketika dahulu gah dengan rekaan phone yang pelik, dan tak kurang yang praktikal. Akan tetapi, kejatuhan jenama Nokia adalah disebabkan penjualan bahagian pengeluaran telefon kepada Microsoft, di samping "kedegilan" Nokia sendiri untuk tidak meneroka pasaran Android pada smartphone keluaran mereka. Pesaing Nokia ketika itu sudah banyak menawarkan smartphone dengan sistem operasi Android. 

Untuk pengetahuan, Nokia mengeluarkan barisan smartphone mereka sendiri dibawah nama Lumia, akan tetapi membawakan sistem operasi berasaskan Windows Phone. Sistem operasi ini tak kurang peminatnya, cuma kurang popular jika dibandingkan dengan sistem operasi pesaing iOs dan Android. Nokia juga pernah menceburi bidang Android dibawah keluarga X, akan tetapi dilihat seakan gagal untuk bersaing. Siri X dikeluarkan ditengah-tengah keluarga Asha dan Lumia, membawakan antaramuka seakan Windows Phone dan menggunakan sistem operasi Android.

Lumia merupakan antara barisan keluarga yang boleh dikatakan berjaya menambat peminatnya tersendiri. Antaramuka yang ringkas, kurang sela masa (lag) ketika penggunaan, dan juga tidak dilupakan aplikasi kamera yang mampu memberikan kualiti yang baik walaupun dalam keadaan suram. Disebalik kekurangan apps yang ketara jika dibandingkan dengan sistem operasi pesaing, Lumia hidup bagaikan bernafas dalam lumpur. Lumia semakin tenat kerana pengambilalihan Lumia dari Nokia oleh Microsoft dan mulai dijual di bawah naungan Microsoft. Antara yang paling ketara ialah penurunan spesifikasi smartphone baru jika dibandingkan dengan waris sebelumnya (contohnya Lumia 550 jika dibandingkan dengan Lumia 540).

Jadi, kembalinya Nokia ke arena smartphone diharap dapat mengembalikan zaman kegemilangan Nokia sebagai gergasi besar komunikasi, dengan beberapa aplikasi yang unik dengan nama Nokia itu sendiri (aplikasi maps, kamera). Semoga Nokia terus berjaya di masa hadapan.

Isnin, 2 Mei 2016

Hidup Berdua (bahagian 4)

Takahashi Keisuke dan Iwase Kyoko, walaupun kereta mereka sama, tapi mereka tak sehati sejiwa. Bertepuk sebelah tangan.

 Apa yang biasa pasangan bercinta buat, apabila salah seorang daripada mereka kehilangan semangat untuk meneruskan hubungan? 

Adakah anda bersedia apabila anda berhadapan dengan situasi ini? 

Sangat susah apabila salah sorang hilang semangat, dan sorang lagi kehilangan kata-kata akibat terkedu dengan kenyataan yang baru dihadapi. Seolah-olah patah sayap untuk terus terbang. Ibarat ketiadaan sokongan untuk pesakit yang patah kaki sebelah, bagaimana dia hendak berjalan ke hadapan? 

Tambah perit, apabila ketidaksefahaman itu tidak diatasi dengan baik/segera. 
Sepi tanpa kata-kata. 

Bersedia atau tidak, itu adalah antara kemungkinan yang bakal dihadapi oleh setiap pasangan bercinta. Cuma faktor waktu membezakan cara penyelesaian yang diambil, sama ada secara matang ataupun sebaliknya. Bukan mudah sebenarnya nak memulihkan diri daripada perasaan terkejut itu, apatah lagi apabila kita berada pada posisi positif, dan tak menjangka perkara sebegitu akan terjadi. 

Ya betul, aku sebenarnya tak suka membayangkan perkara negatif pada masa akan datang. Sebab bagi aku, ia akan merendahkan semangat untuk terus hidup. Biarlah disulami dengan mimpi indah, dan diiringi dengan usaha yang sepadan, supaya hasil akhir (walaupun tak seindah mana) berbaloi dengan usaha yang kita buat. 
Hasil akhir pada aku tak begitu penting, kerana yang penting kita hidup dengan cara kita, usaha kita, dan dengan sepenuh hati kita menghidupkan hidup kita. 

Bila tiba saat itu, kau takkan menyesal dengan usaha dan kerja yang kau dah lakukan. Bahkan kau akan puas hati, kerana kau dah buat yang terbaik, walaupun hasil akhir tak begitu membanggakan. 

Berbalik kepada kemungkinan ketidaksehaluan tadi, aku walaupun tak suka membayangkan perkara negatif, tapi aku harus sedar, kemungkinan itu memang akan terjadi. Aku tak mengenepikan perkara itu. Cuma bagi aku, hidup lah apa yang kau dah ada sekarang. Itu lagi baik daripada membayangkan masa depan yang belum pasti. 

Sedangkan pasangan yang dah berpuluh tahun kahwin pun akan mengalami ketidaksefahaman (sama ada serius atau pun tidak). Tapi bagaimana mereka atasi perkara sedemikian adalah suatu perkara yang kita harus lihat. Dan perlu diingatkan, tak semua cara boleh diambil. Kerana jalan setiap manusia adalah berbeza. Hidup ini penuh dengan try and error. Kalau jadi, jadilah. Kalau tak jadi, kita cuba cara lain. 

Apa yang paling penting, jangan sekali sekali kau ucapkan ucapan perpisahan (yang sama waktu dengannya) kepada manusia yang sedang cuba mencintai kau sepenuh jiwa. Melainkan kau dah ada teman pengganti yang lebih baik, kerana ia merupakan satu kata yang beracun, yang mampu membunuh dalam diam. Perpisahan tanpa sebab dan musabab yang munasabah, ia bakal melahirkan perasaan negatif "lelaki/perempuan semua sama".

Hiduplah. Bercintalah. Kerana suatu hari nanti kau akan menyesal kerana tak menghidupkan perasaan cinta itu. 

aku harap, aku takkan ucapkan ayat ni "i will find u, and i will kill u."

Khamis, 28 April 2016

Pengakuan

me now


Aku mungkin dah meninggal setengah jasad.
Half dead.


Sekian.

Selasa, 26 April 2016

Hidup Berdua (bahagian 3)

jangan tangisi kenangan lalu

 "Abang, what if one day i marry someone else? Not u?"

Dia panggil aku abang, sebab aku memang tua empat tahun dari dia. 

Aku tersentak seketika. 

Ketakutan bagi setiap pasangan, tak kisah lah yang baru bercinta ke, atau pun yang dah lama kahwin. 
Ketakutan yang wujud apabila mereka merasakan yang hidup mereka takkan kekal berdua, bila tiba saat perpisahan (maut, orang ketiga dll). Aku juga tak terkecuali dari perasaan itu. Walaupun aku belum bernikah hingga ke saat ini. 

Impian bagi setiap pasangan, untuk kekal sehingga selama-lamanya. Hidup bersama, buat kerja bersama, bercuti bersama, dan berehat bersama. Mana yang berkongsi minat yang sama, memang berharap agar mereka dikurniakan umur yang panjang, supaya setiap saat diisi dengan perkara yang menggembirakan. Hidup ini bukan sekadar buat anak, dan nikahkan anak. Lebih dari itu.

Sebab itu aku tak berapa suka di awal usia perkahwinan, dah ada anak. Sebab bagi aku, ia menghadkan pergerakan, dan keseronokan. Ini pendapat aku. 

Dan bila mana usia perhubungan lanjut, makin kuat perasaan dan pertanyaan yang aku tulis pada awal baris. 
Bukan kita tidak yakin pada pasangan, tapi adakah kita bersedia untuk itu. 

Perpisahan. Sesuatu yang tidak mungkin akan meninggalkan kesan yang manis untuk pasangan bercinta. 

Tak dinafikan. Aku juga takut sekiranya benda itu berlaku. Apatah lagi apabila mind set aku menyatakan bahawa ini adalah kali terakhir peluang aku untuk jatuh cinta yang sebenar-benarnya. Selepas ini, mungkin tiada peluang untuk itu. Mungkin juga pintu cinta akan ditutup selama-lamanya. Aku berharap agar aku tak ulang kesilapan yang lalu. 

Persoalannya, adakah aku bersedia untuk itu? Adakah si dia juga bersedia untuk itu? 

Tak semua orang ada jawapan. 

Untuk itu, aku berpendapat, hargailah setiap detik dalam perhubungan. Gaduh macam mana sekali pun, berbaiklah, dan mulakan kembali kemanisan hubungan bersama. Kerana kita sendiri tidak akan tahu bila masa dan bagaimana kita akan berhenti dari menikmati semua itu. Cara kita menghargai setiap detik itu adalah penting, supaya kita merasakan yang kita ini menghargai dan dihargai oleh pasangan masing-masing. 

Hiduplah dengan gembira. Supaya suatu hari nanti, kau takkan menyesal apabila tiba hari tersebut. Kau takkan rasa menyesal sebab kau dah spend masa dengan si dia dengan sebaik-baiknya. Kau dah isi dengan benda yang kau dan dia suka. Senyuman mengiringi adalah lebih baik daripada tangisan kesalan. 

Jangan sampai satu tahap, kita tidak lagi gembira menghadapi hari-hari mendatang. Hidup sekadar ala kadar, memenuhi tuntutan dan tanggungjawab, lahirkan anak, then terpaksa berkerja keras untuk segala macam keperluan. Hubungan dingin. Tiada kemanisan sebagaimana awal percintaan dahulu.

Jumaat, 22 April 2016

Hidup Berdua (bahagian 2)



Ada beberapa perkara/situasi yang menyebabkan aku merancang untuk tidak berkahwin/tangguh ketika ini. Selain dari faktor kerja. 

***

Situasi 1.

Seorang rakan terpaksa membuat pinjaman peribadi untuk melangsungkan perkahwinan beliau. Memang majlis beliau biasa je, tak la grand mana. Tapi, ya, sampai buat pinjaman peribadi. Isteri sama status dengan kereta, bayar bulan-bulan. 

Situasi 2.

Kos semakin meningkat. 

Aku suka sebenarnya bila tengok rakan-rakan yang dah ada bayi, rezeki mereka. Cuma, mereka dikurniakan zuriat di kala tahap ekonomi yang makin meningkat kos. Kesian apabila mereka terpaksa mengupah orang untuk menjaga anak yang masih kecil. Keluarga dual income. Suami isteri bekerja. Kos hidup kawasan bandar lagi. Barangan anak yang masih kecil. 

Situasi 3.

Campur tangan ahli keluarga dalam menentukan perkara dalam majlis perkahwinan. Mendengar cerita kawan yang "terburu-buru" kahwin, campur dengan karenah ahli keluarga yang mahukan majlis perkahwinan yang meriah, duit banyak habis hanya untuk sehari dua majlis. RM10k-15k bagi aku sudah cukup besar. 
Banyak benda boleh digunakan untuk tujuan hidup. 

Tapi tu lah. Buat kecil-kecilan kang, kena bahan dek masyarakat pulak. 

Situasi 4.

Ini aku dengar dari si dia. Kisah seorang wanita yang nak nampak cantik, makan segala supplement tambahan, in the end membahayakan kandungan sendiri. Gugur. 

Bila aku tengok sendiri gambar profil orang tu, nampak menarik jugak. Aku tak faham apa perempuan fikir, sampai perlu cantikkan diri lagi yang dah cantik tu. Suami kau terima kau seadanya, tapi kau tak puas. Kau ikut nasihat "pakar kecantikan" tak bertauliah dalam facebook, makan, dan voila~ 

Kesian.

Situasi 5. 

Kahwin ni apa sebenarnya?

Orang kahwin sebab nak bertanggungjawab, atau sekadar memenuhi impian ibu bapa yang mahu menimang anak cucu? 

Kahwin sebab nak halalkan seks? Halalkan hubungan? Bila buat semua itu dapat pahala? Kejar rezeki?

Kenapa orang tak pertimbangkan tanggungjawab yang bakal dipikul selepas akad nikah?
Kenapa ada ibu bapa muda yang membesarkan anak tapi menghancurkan anak dalam masa yang sama?
Kenapa ada yang tak ukur baju di badan sendiri apabila tiba soal ini? 
Mahukan anak, tapi tak reti nak jaga anak? 

Kenapa perlu kejar rezeki yang "dijanjikan" selepas kahwin, kalau rezeki yang ada sekarang tidak dijaga dengan elok? 

Mungkin ada orang kata: kalau tak buat, sampai bila nak sedia?

Betul, macam exam final. Kalau tak buat, sampai ke sudah tak grad. 

Tapi itu berbeza dengan kehidupan. Kehidupan selepas kahwin ni, kau kena banyak belajar dengan pasangan. Apa yang perlu dilakukan bersama. Bukan sekadar belajar puas atas katil semata. Bila isteri lahirkan anak, kau ada di mana? Kenapa kau fikir kerja kau semata, sedangkan isteri jugak perlukan sokongan dari kau. 

Sedap betul kau lepas tangan. 

***

Banyak lagi situasi yang bermain dalam kepala, aku sekadar menaip yang mana terlintas dalam fikiran dahulu. Ada masa, aku tambah lagi. 

***

Benda ni buatkan aku fikir panjang. Betul, kau perlu sediakan fizikal, mental, emosi, kawalan perasaan yang sewajarnya ketika melangkah ke alam baru. Bukan sekadar check in bersama, ambik gambar pegang tangan, makan bersuap, update status facebook, twitter, insta bersama sebab nak nampak romantik. Ia lebih dari itu. Kau baru melangkah ke alam yang kau tak tahu situasi macam mana. 

Ketika situasi meruncing, kau akan nampak warna sebenar pasangan sendiri. Kesabaran kau akan teruji ketika hidup bersama. Kau rasa kau boleh bertahan? Selamat datang ke kehidupan berdua, bertiga dan seterusnya.. 

Aku bercakap berdasarkan pemerhatian. Aku bukan jaguh dalam kehidupan. Apa yang aku perhati, itu yang aku tuliskan. Sebagai panduan untuk diri ini. Juga panduan kepada mereka diluar sana. Pandangan aku bukan 100% dipakai dalam kehidupan orang lain. Kerana masing-masing punya jalan tersendiri.

dari anime Psycho Pass, what colour? apakah warna pasangan anda?

Khamis, 21 April 2016

Godspeed, Proton Persona!

ni masa balik raya. tersekat di bandar Segamat.
Beberapa hari yang lepas, brader campromania telah menulis berkenaan unit terakhir Proton Persona yang bakal digantikan dengan Persona dari platform Iriz tak lama lagi. Terasa sedih sebab Proton Persona antara model kereta yang sedap dipandang kalau kena dengan gaya modifikasi. Sebelum ni pun aku ada baca beberapa blog berkenaan Proton Persona mereka sebagai rujukan. 

Entry kali ini adalah khas sebab aku rasa gatal sangat nak menaip untuk meraikan unit terakhir Proton Persona keluar dari kilang sebagai tanda berakhirnya legasi Proton Persona. Untuk pengetahuan, aku tak suka Persona platform Iriz, sebab dia dah downgrade ciri ciri Persona yang asal. Untuk pengetahuan, Persona asalnya adalah kereta yang ditempatkan dalam segmen C, yang mana Iriz sedan yang baru ini telah direka untuk masuk dalam B-segment.

Kali ini aku akan buat review pasal Proton Persona setelah setahun lebih pakai.. Setelah bekerja, aku dah pakai berulang alik dari Bahau ke Johor. Macam-macam tempat aku dah pergi. 

Sebelum tu, aku suka nak highlight ciri-ciri Persona yang aku pandu. Aku pandu Persona Elegance, model facelift yang dilancarkan pada 2010 selepas Persona pre-facelift dikeluarkan pada tahun 2007. Pertama kali aku pandang, aku tertawan. 

Lampu belakang LED.
Lampu depan smoked.

kereta besar, empat pintu, suspensi multilink. 

Serius. Ini adalah cermin sisi paling seksi Proton pernah hasilkan. 


Meter cluster yang sukani (sporty). Pilihan warna putih+jarum merah tu menyenangkan mata.. aku suka.

Sistem Audio dari Blaupunkt. Ada slot USB. jadi tak perlu nak dengar radio DJ memekak gelak tak tentu pasal.
Dan satu lagi ciri yang buat aku suka, ruangan boot belakang yang amat-amat-amat luas. Sampai ada orang cakap nak baring kat bonet belakang tu. Haha. Untuk pemanduan seharian mahupun balik kampung, memang ciri ini amat menyenangkan. 


Varian Persona yang terakhir adalah Persona SV. Ada beg udara, ABS, EBD, brake disc pada keempat-empat tayar. Memandangkan model yang aku pandu dari base line model, tiada ABS, tiada EBD, tiada aksesori keselamatan lain seperti beg udara pemandu dan penumpang, tiada brek cakera di belakang. Agak kekurangan di situ. Akan tetapi, perkara sedemikian tidak menghalang keseronokan memandu sebagai seorang yang berjiwa kelajuan. Yeah, itu yang aku suka tekankan. Perasaan pemanduan. 



Pengenalan ciri Lotus Ride and Handling dalam setiap model mereka (kecuali yang lama) menjadikan pemanduan memang amat menyeronokkan. Semenjak pengambilalihan Lotus oleh Proton, hampir kesemua model baharu Proton telah menerima "rawatan" Ride and Handling yang mana model² lama tak dapat. Aku dah pernah memandu Saga Orion, pada aku handling dia biasa-biasa saja. Aku pernah pinjam kereta sepupu aku, Proton Wira Aeroback, bagi aku ciri pemanduan dan pengendaliannya amat menghampiri kepada pengendalian Proton Persona. Sebab tu bila aku beralih kepada Proton Persona, aku tak rasa kekok sangat, sebab hampir serupa ciri pemanduan dan pengendalian adik beradik Segmen C itu. 




Ride. Ciri pemanduan atas jalan tanpa ada rasa ketidakselesaan. Kereta keluarga selalunya diberikan suspensi yang lembut untuk menyerap segala hentakan dari luar, sekaligus memberikan keselesaan ketika pemanduan.
Handling. Ciri pengendalian kereta di atas jalan, yang mana lebih kepada kestabilan dan kadar tindak balas kereta kepada pemandu.
Kedua-dua ciri ini sebenarnya amat bertentangan. Tapi amat membantu dalam pemanduan seharian. Suspensi cukup lembut untuk menyerap dan menerima hentakan dari jalan, dan pada masa yang sama cukup keras untuk pengendalian yang meyakinkan. Proton Ride and Handling ini menerapkan, keselesaan pengguna menjadi keutamaan, akan tetapi mampu memberikan pengendalian yang bagus ketika mengambil selekoh atau mengelak halangan di atas jalan. Kagum sebenarnya bila memandu Persona.

Untuk kereta pada lingkungan harga RM50000, agak menakjubkan untuk Proton Persona hadir dengan suspensi multilink di bahagian belakang. Sebab kereta lain (Viva, Myvi, Saga) pada lingkungan harga itu masing-masing dilengkapi suspensi torsion beam. Sejujurnya, pengalaman memandu kereta B-segment Perodua tak menjanjikan keselesaan untuk pemanduan jarak jauh. Kehadiran Proton Persona pada lingkungan harga itu, dengan ciri yang lebih menarik, dan menjanjikan pemanduan yang menyeronokkan, menyebabkan aku tak pandang model Perodua.
kokpit pemandu. segalanya dalam capaian tangan yang normal (kecuali tombol pendingin hawa)
Dari tempat duduk pemandu, kedudukan stereng, tombol gear, brek tangan semuanya dalam capaian tangan yang normal. Jadi, tak terasa kelam kabut sangat ketika membuat pusingan, parking dan pemanduan biasa. Posisi duduk (seating position) pemandu jugak terbaik. Mungkin sebab aku sederhana tinggi, jadi tak jadi masalah sangat. Satu perkara yang aku suka pada Persona ialah kehadiran tempat simpanan di tengah tempat duduk hadapan. Kedudukan kotak simpanan kat tengah dan arm rest pada pintu sebenarnya membantu keselesaan pemandu. Agak-agak penat, boleh rehatkan salah satu tangan, sementara satu lagi pegang stereng. Untuk jalan jauh, serius dua benda ni membantu. 

ruangan untuk smartphone/barangan kecil dekat pintu, dan bawah corong pendingin hawa sisi pemandu
 Enjin IAFM yang dibekalkan Proton untuk unit Persona ni sebenarnya adalah satu penambahbaikan daripada enjin Campro asal pada unit Gen-2. Kalau dulu, enjin Campro mengalami masalah kronik kerana low torque pada RPM yang rendah, enjin IAFM seolah-olah telah menyelesaikan masalah tersebut. Sejujurnya, aku pernah memandu Gen-2, yang mana dalam keadaan pecutan amat tidak menyenangkan hati. Agak teragak-agak untuk memulakan pemanduan dalam RPM rendah. Dari gear 2 masuk ke gear 3 mengambil masa yang terlalu lama. Sakit hati pulak bila niat nak memecut tak kesampaian. Nak kena ambik Gen-2 CPS kut baru puas hati. Haha.   Untuk pemanduan di jalan biasa, trafik berhenti dan jalan, enjin 1600cc memberikan kuasa yang mencukupi. Kadang bergantung pada kaki kanan lah. Selalunya bila lampu isyarat bertukar hijau, kereta aku jauh tinggalkan kereta dibelakang. Kaki kanan berat sangat. Tapi transmisi auto agak kurang untuk tujuan pecutan. Bila memotong, aku hampir selalu drop gear kepada 3 dari D untuk kuasa pecutan, sebab bila tekan pedal minyak lebih, seakan tercari-cari gear yang sesuai untuk tujuan itu. Tapi itu hal kecil. Sebab aku akan pastikan keadaan mengizinkan untuk memotong dengan selamat. Kalau keadaan kurang, maka aku tunggu sehingga betul-betul selamat.

Memandangkan aspek penjimatan minyak selalu menjadi topik bualan ketika memilih kereta, malangnya aku tak mementingkan sangat hal itu. Jadi, tiada jawapan dapat diberikan untuk penggunaan petrol (fuel consumption) kerana cara pemanduan selalu bertukar. Bermakna sopan ketika jalan tidak mengizinkan dan 130km/h ketika berada di atas lebuh raya. Sukar untuk dikatakan kadar penjimatan, kerana ianya subjektif. Ada masa jimat, ada masa ia macam air. Aku ada kawan yang komplen FC Persona dia teruk. Padahal aku tengok cara dia tekan pedal minyak pun teruk. Tetapi, FC bagi Proton Persona ni agak biasa berdasarkan review pemilik yang aku baca.

baru masuk lebuhraya, mode memecut
Untuk pemanduan di lebuh raya, aku suka bila kelajuan naik melebihi had kelajuan kebangsaan (110km/h), sebab seakan tak terasa seperti memandu di kelajuan tersebut. Sedar-sedar, memandu dalam keadaan tenang pun, angka 120km/h sudah ditunjuki jarum di meter kelajuan. Tiada gegaran yang ketara dirasakan di takat kelajuan tersebut, bahkan pada kelajuan sehingga 170km/h pun, kereta masih stabil. 

Kelajuan 170km/h tu tak membawa apa makna pun, kebetulan ketika memandu dari arah selatan di lebuh raya, sebuah Proton Preve' sedang meluncur laju dari arah belakang. Tiada niat di hati untuk meneruskan pemanduan melebihi 170km/h, apatah lagi tiada niat untuk sampai ke destinasi dengan cepat, sekadar menguji prestasi dengan adik barunya Proton Preve' CFE, kebetulan sedang menguji kelajuan dia pada masa yang sama. Memang enjin CFE mampu pergi lagi lebih dari kelajuan tersebut. Sekadar senyum dan kemudian memperlahankan kereta, dan meneruskan pemanduan pada had kelajuan kebangsaan sahaja. 

Pendek kata, tahap pengendalian Persona pada kelajuan sederhana dan kelajuan lebuh raya memberikan aku perasaan pemanduan yang menyeronokkan. Kepakaran Proton amat aku puji. Sebab tu aku agak keberatan kalau nak tukar kepada jenama lain. Sebab lain, aku miskin. Tak mampu nak beli mahal-mahal. Jadi, amat berpatutan lah harga dengan pakej yang diberikan oleh Proton. Nak lebih lagi, memang aku sambar Preve' atau Suprima. 

entah bila Preve' ni nak keluar. bosan jugak menunggu.

Ciri-ciri lain, macam pendingin hawa, itu memang kepakaran Proton. Sejuk.  

Powerwindow, ada sedikit masalah. Hahahah. Masih berfungsi, cuma kadang kala tingkap sedikit menurun ketika perjalanan jauh. Kena selalu periksa sebab kadang kala bunyi angin ketika kelajuan tinggi mengganggu tumpuan. 

NVH. Tahap memuaskan. Aku suka sebenarnya. Bunyi tayar hampir minimum, bunyi enjin pun tak la mengganggu sangat. Aku tak berapa gemar ciri kesenyapan yang terlalu ketara, sebab aku kalau boleh nak juga dengar ngauman enjin supaya aku tahu bahawa enjin bertindak balas dengan tindakan aku. Senyap sangat macam City memang amat menjengkelkan. Cuma, bunyi angin ketika kelajuan tinggi agak kurang menyenangkan.
Cuma dari segi NVH, aku harap Proton mampu perbaiki untuk model akan datang. Tak teruk, masih boleh diterima, tapi boleh diperbaiki. 

Dari segi enjin, memang tip top. Cuma perlu ikut waktu servis, tukar timing belt, minyak gear. Itu sahaja. Cuma kebetulan ketika berada dalam jagaan aku, ada masalah pada intake manifold, berbunyi setiap kali enjin dihidupkan. Bila hantar kedai, hampir semua pomen syak alternator problem, tapi bila bukak alternator, masalah masih sama. Jadi, nak tak nak, kena hampir RM500 lebih untuk tukar benda alah plastik pada enjin tu. Selepas tukar, masalah pun tiada. Owner bengkel tu cakap, masalah ni kerap berlaku pada enjin Campro (Saga/Persona). Terbang melayang duit. 

Sekian sahaja review dari aku. Pemilik kereta standard dengan rim kompang. Tiada modifikasi kecil/besar dilakukan.

Kalau diberi pilihan, kalau boleh lah. Aku nak kekal dengan Proton Persona sedia ada. Kalau lah boleh mintak dengan kilang Proton supaya pasangkan aku Proton Persona dengan spesifikasi yang ada pada Proton Suprima. Persona ni tak perlukan bodykit mengarut. Cukup tukar sport rim.

nampak jahat.

masuk rim R3 16 inci pun nampak jahat. sumber gambar Zerotohundred.